Polis serbu restoran langgar SOP, 45 pelanggan kena kompaun

Polis serbu restoran langgar SOP, 45 pelanggan kena kompaun

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyebabkan 45 pelanggan sebuah restoran di Jalan Teluk Sisek, di sini, dikenakan kompaun, malam tadi.

  Semua individu terbabit dikompaun mengikut kesalahan kategori ketiga Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana kesalahan tiada penjarakan fizikal dan tidak mengimbas kod aplikasi MySejahtera.

  Kompaun itu dikeluarkan hasil serbuan yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan diketuai Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, pada 11.55 malam tadi.

  Mohamad Noor berkata, hasil serbuan dan pemeriksaan itu mendapati sebahagian besar pelanggan di premis terbabit gagal mematuhi SOP PKPP iaitu tiada penjarakan fizikal satu meter antara pelanggan.

Sebahagian pelanggan yang dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sebuah restoran di Kuantan.

  Katanya, dua individu turut didapati gagal mengimbas kod aplikasi MySejahtera termasuk seorang daripadanya cuba menipu dengan menunjukkan sudah mengimbas di restoran itu tetapi bertarikh 21 April lalu.

  “Ada pelanggan masih tidak faham dan kononnya mendakwa tidak tahu SOP membabitkan jarak satu meter.

  “Kompaun yang dikeluarkan ini kerana keadaan sangat rapat dan kami tidak boleh lagi berkompromi dalam usaha menyekat penularan wabak Covid-19.

  “Daripada 45 individu yang dikompaun itu membabitkan 38 lelaki dan tujuh wanita,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

  Beliau berkata, pemilik premis turut dikenakan kompaun atas kesalahan sama dengan jumlah kompaun RM10,000 kerana gagal memastikan pelanggan mematuhi SOP walaupun memberi alasan sudah menasihati pelanggan.

  “Bagaimanapun, pada saya jika pelanggan ingkar, pemilik restoran sepatutnya menghubungi pihak berkuasa sama ada polis atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

  “Dalam kes ini, saya kesal dengan sikap peniaga dan pelanggan yang tidak peduli dan tidak mahu mematuhi SOP.

  “Sehubungan itu, polis akan meneruskan pemantauan pematuhan SOP dari semasa ke semasa dan tiada kompromi jika ada yang melakukan kesalahan,” katanya.