Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
BENTONG: Polis Bentong menjalankan siasatan mengenai dakwaan terdapat ejen menawarkan slot vaksin COVID-19 dengan bayaran tertentu kepada warga asing di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata berdasarkan laporan, ejen terbabit menawarkan slot vaksin COVID-19 kepada warga asing pada kadar RM100 hingga RM380.
Katanya, setakat ini, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang wanita tempatan berusia 31 tahun pada jam 12.30 tengah hari, semalam.
“Polis akan menjalankan siasatan lanjut untuk mendapatkan kesahihan dakwaan dalam laporan polis yang dibuat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan penjualan slot vaksin COVID-19 supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau mana mana balai polis berdekatan.