Polis siasat sama ada juruterbang dan penumpang helikopter terhempas mendapat izin rentas negeri

Polis siasat sama ada juruterbang dan penumpang helikopter terhempas mendapat izin rentas negeri

Oleh Helmy Abd Rahman

Gambar ihsan Bernama

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Polis sedang menjalankan siasatan sama ada penumpang helikopter yang terhempas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang semalam, mendapat kebenaran merentas negeri atau tidak.

  Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, polis juga sedang menyiasat sama ada juruterbang dan empat penumpang kenderaan udara itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan dibenarkan berlepas dari Sungai Lembing, dekat sini.

  “Siasatan masih dilakukan dan kita bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk mendapat kepastian berhubung hal ini.

  “Sehubungan itu, saya harap orang ramai tidak membuat sebarang andaian selagi siasatan belum berakhir,” katanya.

  Beliau berkata demikian selepas sambutan Hari Polis ke-214 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.

  Semalam, akhbar melaporkan mengenai insiden membabitkan helikopter Airbus AS350 B3 yang dikendalikan seorang juruterbang dan dinaiki empat penumpang, terhempas berhampiran hangar Airbus Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

  Pesawat persendirian itu dikatakan berlepas dari Sungai Lembing, Kuantan pada 8.30 pagi untuk penerbangan persendirian ke Subang melalui Maran, Temerloh, Karak dan Batu Caves.

  Difahamkan, lima mangsa yang terbabit dalam insiden itu dalam keadaan stabil dengan dua daripada mereka mengalami kecederaan dan helikopter berkenaan tidak mengalami kebakaran.