Polis tegur aksi bahaya penunggang basikal

Polis tegur aksi bahaya penunggang basikal

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@gmail.com.my

KUANTAN: Penunggang basikal diingatkan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan tidak melakukan aksi bahaya ketika melakukan aktiviti berbasikal terutama di jalan raya.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohammed Rizal Kamarudin, berkata orang ramai kini diberi kelonggaran untuk bersukan dan beriadah termasuk melakukan aktiviti berbasikal.

“Malangnya ada pihak yang salah guna kelonggaran itu dengan melanggar peraturan jalan raya seperti video yang tular,” katanya dalam sidang media di pekarangan Pejabat Polis Trafik Ibu Jalan Mat Kilau, di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular rakaman aksi bahaya penunggang basikal yang mengikut rapat di belakang treler di Jalan Kuantan- Gambang, di sini.

Video berdurasi 2 minit 34 saat itu dipercayai dirakam pemandu lori yang memandu kenderaannya di belakang penunggang basikal berkenaan, pada 17 September lalu.

Mohammed Rizal berkata, penunggang basikal itu boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda dan penjara selain basikal juga boleh disita.

“Mereka juga boleh dikenakan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM6,000 atau boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua belas bulan.

“Bagaimanapun, kita mengambil pendekatan untuk memberi pendidikan dan kesedaran dengan memberi amaran terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohammed Rizal berkata, sepanjang tempoh Januari hingga kini, sejumlah 345 kenderaan disita pihaknya atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 42 (1) dan 64 APJ 1987.

“Dalam tempoh sama, 62 kertas siasatan dibuka dan 24 daripadanya sudah dituduh di mahkamah manakala 847 saman dikeluarkan di antara Januari hingga Ogos,” katanya.