Polis tidak halang misi bantuan kemanusiaan selagi ikut SOP

Polis tidak halang misi bantuan kemanusiaan selagi ikut SOP

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

BENTONG: Polis tidak pernah menghalang misi kemanusiaan mana-mana pihak bagi menghantar bantuan kepada golongan yang memerlukan dalam tempoh Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Dato’ Zaini Jass berkata, semua pihak yang menguruskan misi bantuan perlu faham prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, ia perlu mendapat kebenaran Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri atau Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang kemudiannya disalurkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB)

BENTONG. Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass (tengah) ketika meninjau dan menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Plaza Tol Bentong.

“MKN sudah menetapkan SOP bahawa semua misi bantuan mesti dilaksanakan oleh PKOB sama ada PKOB negeri atau PKOB daerah. Kita sudah selaraskan supaya penyampaian nanti lebih teratur,” katanya. 

Beliau ditemui selepas melakukan tinjauan dan menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Plaza Tol Bentong.

Hadir sama Pegawai Khas Menteri Besar Pahang, Dato’ Jasvir Singh Ram Singh dan Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar.

Beliau berkata demikian mengulas sepuluh kenderaan membawa bantuan Pertubuhan Kebajikan Dana Kita (Dana Kita) yang dalam perjalanan ke Terengganu diarah berpatah balik di SJR Plaza Tol Bentong, pada 23 Julai lalu.