KUANTAN: Sejumlah 14,800 tan sisa banjir sudah dikutip sejak operasi pembersihan pasca banjir di sembilan daerah di negeri ini bermula 22 Disember lalu sehingga semalam.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid, berkata jumlah sisa banjir paling banyak dikutip membabitkan tiga daerah iaitu di Bentong, Temerloh dan Kuantan.
“Antara sisa banjir yang dipungut adalah barangan perabot dan peralatan elektrik.
“Kita jangkakan jumlah sisa banjir ini akan bertambah terutama di kawasan taman perumahan yang banyak terjejas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya berterima kasih di atas kerjasama daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pemimpin setempat megambil inisiatif menyewa lori bagi tujuan mengangkut sampah di kawasan penempatan penduduk.
“Kerjasama ini akan melancarkan operasi pembersihan dan kawasan dilanda banjir bebas sampah,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN