KUANTAN: Portfolio 10 EXCO Kerajaan Pahang akan diumumkan di Wisma Sri Pahang, esok, kata YAB Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, portfolio EXCO yang dipilih adalah berdasarkan latar belakang dan kebolehan masing-masing.
“Proses pemilihan sudah di peringkat akhir dan portfolio EXCO terbabit akan diberikan mengikut latar belakang, keupayaan dan kemampuan masing-masing.
“Saya percaya mereka mampu menggalas amanah dan tanggungjawab mengikut portfolio yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Festival dan Simposium Perladangan dan Komoditi Pahang 2022 serta Pameran Komoditi Inovasi dan Teknologi 2022 di Kompleks Yayasan Pahang di sini, hari ini.
Pada 2 Disember lalu, lima muka baharu dari Barisan Nasional (BN) termasuk Dato’ Mohd Nizar Najib iaitu anak kepada bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak, mengangkat sumpah sebagai EXCO Kerajaan Pahang yang baharu.
Selain Mohd Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, istiadat mengangkat sumpah EXCO kerajaan negeri di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan itu turut menyaksikan pelantikan Ir Razali Kassim (Muadzam Shah), Dato’ Sri Johari Harun (Pelangai), Dato’ Sabariah Saidan (Guai) dan Fadzli Mohd Kamal (Dong).
Tiga EXCO kerajaan negeri sebelum ini iaitu Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abd Razak (Benta), Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad (Kerdau) dan Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (Bebar) sekali lagi diberi kepercayaan menggalas tugas sebagai EXCO.
Sejarah turut terpahat dalam pentadbiran Kerajaan Pahang apabila dua ADUN Pakatan Harapan (PH) iaitu Sim Chong Siang (PKR-Teruntum) dan Leong Yu Man (DAP-Triang) menyertai lapan dari BN mengangkat sumpah sebagai EXCO kerajaan negeri.
Istidadat pelantikan EXCO Kerajaan Pahang itu disempurnakan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – HELMY ABD RAHMAN