Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Dua menara baharu yang dibina di Pos Lemoi dan Kampung Telimau di Cameron Highlands akan siap dan dijangka beroperasi penghujung bulan depan. Dua menara baharu itu antara 28 menara baharu yang dijangka siap sepenuhnya sebelum penghujung tahun ini di bawah pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Pahang yang dijalankan secara kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kerajaan Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Arif, berkata menara Pos Lemoi terletak berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Lemoi, Cameron Highlands yang mempunyai seramai 127 murid. Katanya, murid berkenaan adalah masyarakat Orang Asli dari beberapa kampung antaranya Kampung Lemoi, Kampung Telimau, Kampung Chenan Cerah dan Kampung Tilip.
“Secara keseluruhan, melalui pelaksanaan JENDELA di Cameron Highlands, sebanyak 23 menara telah dirancang untuk dibina iaitu baki 21 menara lagi akan bermula dalam masa terdekat. “Di bawah inisiatif sama, sebanyak 13 stesen pemancar akan dinaik taraf kepada rangkaian 4G dan lapan Kampung Orang Asli (KOA) akan mendapat perkhidmatan internet jalur lebar satelit “Bagi perkhidmatan talian tetap, rangkaian di 4,370 premis telah dirancang untuk dinaik taraf dan sehingga kini 916 siap dilaksanakan,” katanya menerusi Facebook, hari ini,
Dengan siapnya semua inisiatif ini dijangka pada penghujung tahun 2022, beliau berkata, masyarakat di kawasan sasaran di sekitar Cameron Highlands akan mendapat perkhidmatan internet lebih baik dan berkesan.
“Ini membuktikan Kerajaan Pahang pimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail terus berusaha merapatkan jurang digital antara penduduk luar bandar dan bandar demi memastikan semua rakyat negeri ini mendapat akses kepada internet yang lebih baik sekali gus mampu meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.