PPA Perlok rancak menghasilkan benih ikan air tawar 

PPA Perlok rancak menghasilkan benih ikan air tawar 

JERANTUT: Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Perlok, di sini, berjaya menghasilkan  1.4 juta benih pelbagai spesies ikan air tawar, sepanjang  tahun lalu.

Ahli Parlimen Jerantut, Dato’ Ahmad Nazlan Idris berkata kejayaan itu membuktikan pusat itu menjadi nadi kepada industri ikan air tawar di Pahang khususnya daerah ini  yang mempunyai ramai penternak ikan sangkar. 

Katanya, PPA  Perlok berjaya menghasilkan benih 11 spesies ikan air tawar  iaitu lampam,  baung, patin, kelah, tilapia, kerai, keli, temoleh, sebarau, terbol dan puyu.

Beliau berkata, PPA Perlok sudah mengeluarkan kira-kira 20.4 juta benih ikan air tawar pelbagai spesies, sepanjang 10 tahun kebelakangan ini. 

Katanya, semua benih ikan air tawar itu dilepaskan ke beberapa sungai di Pahang sebagai usaha memastikan spesis berkenaan tidak pupus di habitat asal.

Menurutnya, dalam masa yang sama  PPA Perlok kini giat berusaha menghasilkan benih patin buah (pangasius nasutus) dalam usaha menambah taburan spesies di Sungai Pahang dan Sungai Jelai.

“Kekurangan induk berkualiti selain faktor semula jadi menjadi antara sebab benih patin buah tidak banyak dapat dihasilkan berbanding spesies lain.

“PPA Perlok sentiasa berusaha menambah jumlah induk patin buah dengan cara membeli  induk daripada nelayan sungai,” katanya 

Beliau berkata demikian selepas melawat  untuk melihat sendiri proses pembenihan ikan kelah dan Ikan air tawar yang lain di PPA Perlok, di sini, semalam.

Katanya, tumpuan utama pengeluaran benih ikan ialah untuk aktiviti pelepasan ke perairan umum di negeri ini dan selebihnya untuk diagihkan kepada jabatan perikanan negeri dan pasaran tempatan. – MUHAMMAD NAJMIE