Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
PEKAN: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan menerima sebanyak 5,047 kit ujian kendiri Covid-19 untuk diagihkan kepada 64 sekolah rendah dan menengah di daerah ini.
Kit ujian berkenaan dibekalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk digunakan pada sesi persekolahan bermula bulan depan.
Pegawai PPD Pekan, Mohd Razali Mustafar, berkata kit ujian kendiri Covid-19 itu hanya untuk digunakan bila perlu sahaja terutama apabila terdapat murid dan pelajar bergejala.
Katanya, sebagai persediaan awal, pihaknya akan menyerahkan kit ujian itu kepada semua sekolah dalam masa terdekat.
“Pihak sekolah akan mengajar cara menggunakan kit berkenaan dalam usaha mengesan Covid-19 dalam kalangan murid serta pelajar bergejala.
“Kita nak pastikan sesi persekolahan bermula bulan depan tidak terganggu dengan Covid-19 yang akan menjejaskan kesihatan semua pihak walaupun pelajar, guru dan kakitangan sokongan sudah menerima vaksin,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, setakan ini hanya terdapat empat guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 di daerah ini daripada seramai 2,158 guru sekolah rendah dan menengah.
“Usaha memujuk mereka sedang dilakukan,” katanya.
Untuk rekod, secara keseluruhannya terdapat seramai 21,234 murid dan pelajar di sekolah rendah serta sekolah menengah di daerah ini.