PPSAS mesti siap menjelang Mei 2023

PPSAS mesti siap menjelang Mei 2023

KUANTAN: Pemaju diminta lebih giat melaksanakan kerja pembinaan Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) bagi memastikan ia siap mengikut jadual.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, projek berkenaan menjadi keutamaan kepada kerajaan negeri dan sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.

Sehingga ini, katanya, 90 peratus kerja telah selesai dan berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) turut berperanan dalam memastikan projek berkenaan disiapkan mengikut jadual.

“Kita harap bangunan ini dapat digunakan pada Mei 2023. Keutamaan sekarang adalah menyiapkan Blok A yang menempatkan Pejabat Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, pejabat Exco dan bilik Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK),” katanya ketika ditemui selepas meninjau kerja-kerja pembinaan PPSAS, KotaSAS, di sini, semalam.

PPSAS yang bernilai RM415.5 juta itu adalah pusat pentadbiran kerajaan negeri yang baharu menggantikan Wisma Sri Pahang yang sudah berusia 55 tahun. – NUR HANNAH KHADIJAH