Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.co
KUANTAN: Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah@IIUM (SASMEC @IIUM) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selesai memberi 47,783 dos suntikan vaksinasi Covid-19 kepada penduduk daerah ini sejak beroperasi 19 Julai lalu.
Pengurus PPV IPT @ SASMEC IIUM Kuantan, Dr Abdul Rahim Mohamed Sirajudeen, berkata secara purata, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di institut pengajian tinggi (IPT) yang beroperasi di Dewan Utama UIAM kampus Kuantan itu memberi suntikan kepada 1,000 individu pelbagai lapisan masyarakat, setiap hari.
Katanya, tidak banyak masalah dihadapi pihak urusetia selain individu yang datang bagi mendapatkan vaksinasi dos pertama dan kedua sejak PPV beroperasi.
“Kerjasama baik semua pihak menjamin kelancaran proses pemberian vaksin Covid-19 yang dilakukan lima hari seminggu bermula 9 pagi hingga 5 petang.
“Kita mempunyai 184 petugas kesihatan dan bukan kesihatan selain 136 sukarelawan terdiri daripada penuntut UIAM kampus Kuantan,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, untuk membantu melancarkan lagi proses pemberian vaksinasi, pihaknya menyediakan sebanyak 40 kerusi roda untuk digunakan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah untuk berjalan.
“Turut disediakan dua unit kereta bugi (buggy) bagi mengambil dan menghantar warga emas dan OKU ke kawasan meletakkan kenderaan.
“Kini operasi PPV IPT @ SASMEC IIUM Kuantan selesai sepenuhnya hari ini selepas beroperasi lebih tiga bulan, pelbagai cabaran serta dugaan,” katanya.