Presiden MBNP tiada kaitan dengan PN

Presiden MBNP tiada kaitan dengan PN

KUANTAN: Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) kesal dengan penggunaan gambar Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid dalam siri kempen manifesto Perikatan Nasional (PN) Pahang.

Timbalan Presiden MBNP, Nor Aliff Yaakob, berkata MBNP tidak pernah terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan PN Pahang.

“MBNP memohon pihak yang terlibat agar memadamkan pautan berkenaan dengan segera atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

“MBNP juga menuntut permohonan maaf secara rasmi daripada pihak terbabit,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurutnya, MBNP merujuk kepada pautan https://m.facebook.com/photo.php?fbid=485421690286431&id=100064558125344&set=a.220544393440830 yang mengeksploitasi gambar Mohd Izzat Afifi dan penerima Anugerah Perdana Belia Negara 2020, Nurliana Muhammad.

“Untuk makluman gambar berkenaan adalah ketika Majlis Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Pahang pada 2020,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, MBNP sebagai pertubuhan utama belia di negeri ini, bebas dan tidak terikat dengan mana-mana parti politik.

“MBNP ingin mengingatkan setiap parti politik supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan mana-mana gambar individu untuk berkempen tanpa kebenaran tuan punya badan,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN