Presiden Pas tidak ikhlas kerjasama dengan Umno

KUANTAN 15 SEPTEMBER 2024. (FIKRAH PAHANG) Naib Presiden Umno, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak ikhlas

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang mengulas kenyataan Presiden Pas itu yang bersedia untuk menjalin semula kerja sama dengan Umno tanpa perlu melibatkan Presiden Umno, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Jika Abdul Hadi ikhlas, kenapa hendak ketepikan Presiden kami? Adakah Abdul Hadi cuba memecah-belahkan Umno yang semakin hari semakin kukuh”ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

” Umno ada ketuanya yang memimpin dan jika Pas berhasrat untuk mengadakan sebarang bentuk kerjasama, seharusnya perlu berbincang dan berunding dengan presiden kami dulu. ” ujarnya.

Beliau berkata, Umno meletakkan institusi Presiden yang mengetuai parti untuk menentukan arah tuju parti.

” Saya melihat Presiden Umno berpijak tidak berkisar, bercakap tidak beralih, berani menahan uji, setia tahan dicuba dan taat tahan dilipat dan Pas jangan masa terdesak sahaja hendak mencari Umno , hakikatnya sewaktu Muafakat Nasional berlangsung, Pas tidak ikhlas pun untuk bersama Umno.”

“Oleh itu, sebagai Naib Presiden Umno , saya tidak berminat untuk membuat sebarang perundingan yang membelakangkan ketua saya serta melaga-lagakan ahli-ahli Umno” katanya.

oleh : KABHI ISMAIL