Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Pahang mencatatkan nilai 4.63 Gred Purata Negeri (GPN) bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dan sekaligus mengekalkan peningkatan untuk lima tahun berturut-turut.
Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, 17,446 calon menduduki SPM, tahun lalu.
“Daripada jumlah itu, 15,672 calon iaitu 89.83 peratus layak mendapat sijil (LMS) iaitu perningkatan 1.91 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata, 290 calon SPM 2020 memperoleh keputusan cemerlang berbanding 265 calon pada tahun sebelumnya iaitu peningkatan 0.13 peratus.
“Kita juga mengucapkan tahniah kepada enam pelajar cemerlang negeri Pahang yang memperoleh keputusan A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil iaitu 9A+, hingga 12A+.
“Selain itu, 10 calon daripada 87 pelajar istimewa yang menduduki SPM tahun lalu memperoleh keputusan sekurang-kurangnya 5A manakala 31 calon Orang Asli memperoleh keputusan cemerlang sehingga 6A,” katanya.
Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, 10 sekolah di negeri ini yang memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik iaitu antara 2.46 dan 2.10.
“Hampir semua 18 Sekolah Menengah Agama negeri yang mencatatkan peratusan penuh layak mendapat sijil kecuali satu yang memperoleh 98.72 peratus,” katanya.