Prihatinnya kerajaan negeri ke rakyat

Prihatinnya kerajaan negeri ke rakyat

RAUB: Penduduk di lapan kampung tradisional dalam Mukim Dong, di sini, kini tidak lagi berdepan masalah pembuangan sampah apabila menerima 33 unit tong sampah berkapasiti 660 liter sumbangan kerajaan negeri.

Penyerahan dilakukan oleh penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin kepada ketua-ketua kampung di Kampung Temau, pada 16 Oktober lalu.

Shahiruddin dalam satu hantaran klip videonya di Facebook berharap penyerahan tong sampah itu mampu menyelesaikan isu pembuangan sampah di kampung.

“Jadikan pembuangan sisa pepejal ke dalam tong sampah sebagai amalan dalam menjaga kebersihan dan gunakan kemudahan ini dengan sebaik mungkin.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri bawah pimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang telah melaksanakan satu projek rintis dalam memastikan setiap kampung menjaga kebersihan dengan membuang sampah ke dalam tong yang disediakan Majlis Daerah Raub dengan kerjasama SWCorp dan Alam Flora,” katanya. – NUR HANNAH KHADIJAH