Prinsip keadilan menurut Islam adalah menjunjung amanah Tuhan

Prinsip keadilan menurut Islam adalah menjunjung amanah Tuhan

KUANTAN: Keadilan Islam tidak sama sekali memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa yang melakukan kesalahan, sama ada diri sendiri, teman rapat, ahli keluarga mahupun ibu dan bapa

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah ketegasan prinsip keadilan Islam juga tidak membenarkan sebarang ketidakadilan kepada sesiapa termasuk kepada mereka yang tidak disenangi, selain keadilan tanpa pilih kasih yang diamalkan telah berjaya mengangkat martabat Islam pada zaman Rasulullah SAW.

“Prinsip keadilan yang telus lagi terbuka turut berjaya membangunkan satu masyarakat yang adil, saksama, makmur dan sejahtera. Prinsip keadilan menurut Islam adalah menjunjung amanah Tuhan,” titah Seri Paduka semasa berucap merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Pahang, di sini, hari ini.

Berpandukan atas prinsip yang sama, Al-Sultan Abdullah bertitah, Mahkamah Syariah mestilah bijak menggunakan kuasa budi bicara dan sentiasa berlaku adil kepada semua pihak dalam menjatuhkan hukuman, terutamanya yang membabitkan kes-kes kekeluargaan.

“Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil, nescaya keadilan tidak akan tercapai kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang ternoda dan akibatnya pihak yang lemah akan menjadi mangsa kepada pihak yang memiliki kuasa,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah, bahawa kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ia bakal dipertanggungjawabkan kelak di ‘hari kemudian’.

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah berkenan memasyhurkan kompleks bernilai RM44.75 juta yang mula dibina pada 22 Jun 2015, siap pada 23 September 2021 dengan nama Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah.

Turut berangkat KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad, barisan pentadbiran Pahang diketuai YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Hakim Syarie Pahang, Dato’ Sri Abdul Rahman Md Yunos.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan supaya cadangan konsep diyat (pampasan kepada keluarga mangsa yang terkesan dengan tindakan jenayah) dapat dilaksanakan di negara ini. – BERNAMA