PRK Palangai- Lebih 16,000 pengundi tunai tanggungjawab hari ini

Kuantan 7 Oktober 2023 (FIKRAH PAHANG)- Lebih 16,000 pengundi berhak menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai hari ini

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam mewakili BN, Naib Yang Dipertua PAS Bentong, Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli, calon Bebas yang akan menggunakan simbol kereta.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Dato’ Sri Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon Kasim (PN), calon Pakatan Harapan Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang Isa Ahmad.

Sebanyak sembilan pusat mengundi melibatkan 30 saluran akan dibuka mulai 8 pagi tadi hingga 6 petang, sebelum proses penjumlahan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, Bentong.

Oleh Kabhi Ismail