Produk halal mampu jana pendapatan masjid, surau

Produk halal mampu jana pendapatan masjid, surau

BENTONG: Lebih 500 masjid dan surau yang menubuhkan Koperasi Kariah Masjid dan Surau disarankan mengubah strategi perniagaan dengan menerokasi segmen pengeluaran dan pemasaran barangan halal berskala besar.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, sektor pasaran halal amat besar bukan sahaja untuk orang Islam tetapi juga masyarakat lain yang kini mula mencari produk halal.

“Keseluruhan koperasi kariah masjid yang bernaung di bawah ANGKASA menyumbang kira-kira satu peratus daripada keseluruhan ekonomi berasaskan produk halal jika dibandingkan dengan hampir 25 juta penduduk Islam di negara ini. “Oleh itu, kita meletakkan sasaran kira-kira 10,000 koperasi kariah masjid dan surau ditubuhkan dalam tempoh beberapa tahun ini untuk melebarkan perniagaan barangan halal,” katanya.

Abdul Fattah berkata demikian selepas merasmikan Kedai Projek Barang Asas 100 (BA100) Koperasi Kariah Masjid Tengku Sulaiman, Ketari, di sini. Turut hadir, Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Tengku Sulaiman, Razali Zainal.

Menurutnya, pengeluaran produk halal berskala besar dapat dilakukan jika koperasi kariah masjid dan surau dapat bergabung berkonsep jamaah iaitu bekerjasama dengan semua koperasi untuk meningkatkan pengeluaran dan pemasaran barangan halal.

Selain itu, Abdul Fattah yang juga Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia Pasifik (ICA-AP) menyarankan koperasi kariah masjid meluaskan tapak perniagaan dengan menceburi bidang pertanian dan ternakan.