Program Cakna Tok Wan rapatkan pemimpin dengan rakyat

Program Cakna Tok Wan rapatkan pemimpin dengan rakyat

Oleh Muhammad Najmie
fikrahpahang@gmail.com

KUALA LIPIS: Program Cakna Tok Wan yang dilancarkan oleh Menteri Besar Pahang, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail, dapat mendekatkan pemimpin dengan rakyat sekali gus menyelesaikan pelbagai masalah penduduk di negeri ini.
Selain itu. ia dapat meringankan beban rakyat yang menghadapi masalah seperti diserang penyakit, musibah dan sebagainya menerusi pemberian bantuan keperluan terutama ketika penularan pandemik COVID-19.
Wan Rosdy berkata, program ini bukanlah inisiatif baru, malah ia telah diamalkan oleh beliau dan semua wakil rakyat di negeri ini sejak dahulu lagi.
Menurutnya, kerajaan negeri mahu melihat semua wakil rakyat bersikap cakna dan prihatin dengan nasib rakyat yang menghadapi kesusahan seperti sakit, uzur atau ditimpa bencana, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka.
Berucap pada majlis pelancaran Program Cakna Tok Wan di Dewan UMNO Bahagian Cameron Highlands, Sungai Koyan, Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pos Malaysia Berhad.
Turut mengiringi beliau ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Pendidikan negeri, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Wan Rosdy turut melepaskan konvoi kenderaan bagi mengagihkan bantuan barangan kepada penduduk di kawasan Dewan Negeri Jelai sebelum turut menyertai skuad Cakna Tok Wan menziarah dan mengagihkan bantuan kepada penerima.
Sebelum itu, beliau melawat kerja Pejabat Daerah Kecil Jelai di Bukit Betong dan lawatan ke Projek Jalan Tanjung Gahai ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Jelai di Kampung Tanjung Gahai, di sini.
Menteri Besar sebelum itu menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Penyelesaian Tanah (JKPT) Cameron Highlands dan Mesyuarat Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands di Pejabat Daerah dan Tanah Lipis.