KUANTAN, 25 Feb 2025 (Fikrah Pahang ) Kerajaan Pahang akan menganjurkan ‘Program Himpunan Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat’ Khamis ini bagi menunjukkan solidariti rakyat kepada Institusi Diraja Pahang.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’Sri Zulkifli Yaacob dalam satu kenyataan media berkata, program tersebut merupakan manifestasi penyatuan rakyat Negeri Pahang yang bernaung di bawah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al Mustafa Billah Shah tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan juga fahaman politik.
“Program dimulai dengan solat maghrib, solat hajat, bacaan yasin, doa selamat dan solat Isyak di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah dan akan diteruskan di padang MBK1 dengan ceramah oleh Timbalan Mufti Negeri Pahang, Dato’ Badli Shah Alauddin,” katanya.
“Baginda Sultan Pahang turut berkenan berangkat bercemar duli ke program di Masjid Negeri,” katanya melalui kenyataan yang diedarkan hari ini.
Beliau berkata, orang ramai dijemput hadir dan digalakkan memakai pakaian kebangsaan. Sebarang pakaian berlambangkan atau mewakili mana-mana parti politik tidak dibenarkan.
“Kerajaan Negeri berharap agar pelaksanaan program ini akan mencapai objektif penyatuan rakyat dalam memartabatkan Institusi Raja Berdaulat di negeri ini. ” katanya. -FIKRAH PAHANG.