Program kemahiran untuk pelajar tahfiz

Program kemahiran untuk pelajar tahfiz

KUANTAN: Lepasan sekolah tahfiz di Pahang terutama yang kurang cemerlang dalam pelajaran, berpeluang mengikuti program kemahiran Yayasan Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata menerusi program Tahfiz Mahir Yayasan Pahang, pelajar boleh mengikuti pelbagai kursus seperti kimpalan, elektrik, memasak dan pertanian fertigasi.

“Terdapat 180 pusat tahfiz di seluruh Pahang yang menempatkan ramai pelajar. Bukan semua dapat belajar secara sempurna atau sempat menghabiskan pembelajaran. Jadi, mereka ini perlu diberi ruang dan peluang.

“Kita harus puji usaha Yayasan Pahang yang mengambil inisiatif meningkatkan kemahiran dalam kalangan pelajar tahfiz terbabit  sekali gus nanti dapat memenuhi keperluan pasaran pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Tahfiz Mahir Yayasan Pahang di Masjid Maahad Tahfiz Negeri Pahang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Dato’ Mahmud Mohd Nawawi; Ketua Pegawai Eksekutif Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Mohd Khalil Mohd Zari dan Naib Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Prof Madya Dato’ Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin.

Mengulas lanjut, Sri Syed Ibrahim berkata, semua pelajar yang menyertai program kemahiran turut diberikan elaun RM1,200 sebulan dalam tempoh pembelajaran sepanjang enam bulan. – HUSIN IBRAHIM