Program sekat pembiakan luar kawalan kucing jalanan

Program sekat pembiakan luar kawalan kucing jalanan

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang (SKJP) akan mengadakan program pemandulan perdana terhadap kucing jantan jalanan bagi mengawal pembiakan, pada 7 Oktober ini.

Pengerusinya, Jurina Abdul Rani, berkata program julung kali diadakan itu dibahagikan kepada beberapa peringkat, bermula dengan operasi menangkap di lima lokasi yang dikenal pasti diikuti pemeriksaan dan pemantauan kesihatan haiwan terbabit.

Menurutnya, hanya kucing jantan yang sihat dan berumur lebih setahun sahaja akan melalui proses pemandulan, selepas pemandulan kucing akan kuarantin selama dua hari sebelum dilepaskan semula ke lokasi ditemui.

Katanya, pihaknya turut memberi peluang kepada individu yang berminat untuk mengambil kucing yang sudah dimandulkan untuk menjadi haiwan peliharaan tanpa sebarang bayaran, syaratnya utama ialah minat dengan kucing.

“Program kerjasama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang (JPVP) dan Pasukan Tindakan Cemas Malaysia (PTCM) Pahang membabitkan Unit Kebajikan Haiwan dan Alam Sekitar.

“Program yang diadakan ini diharap dapat mengurangkan pembiakan kucing jalanan di daerah ini yang dilihat semakin bertambah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Jurina berkata, kira-kira 50 kucing jantan akan dimandulkan oleh pegawai perubatan JPVP dan proses memerlukan tiga hari.