Program vaksinasi Orang Asli Pahang semakin memberangsangkan

Program vaksinasi Orang Asli Pahang semakin memberangsangkan

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

LIPIS: Sebanyak  21,546 dos vaksin lengkap sudah diberikan kepada masyarakat Orang Asli (OA) di negeri ini sehingga semalam (13 September)

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain itu, sebanyak 34,978 dos pertama sudah diberikan kepada masyarakat pribumi itu setakat semalam.

Katanya, penerimaan vaksin dalam kalangan OA kawasan pedalaman juga mendapat sambutan apabila ada antara mereka datang sendiri ke Klinik Kesihatan dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran bertanyakan mengenai vaksinasi.

“Program vaksinasi OA secara ‘outreach’ dilaksanakan untuk OA pinggiran sejak Jun 2021, sangat memberangsangkan dan menjadi batu loncatan kepada pemberian vaksin membabitkan keseluruhan masyarakat berkenaan di negeri ini.

“Sehingga semalam, seramai 34,978 atau 66.8 peratus menerima satu dos dan  21,546  atau 41.1 peratus sudah lengkap dua dos vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi lawatan ke Pos Lenjang, di sini bagi menyaksikan program ‘outreach’ membabitkan masyarakat OA, hari ini,

Sementara itu, beliau berkata, peratusan pemberian vaksin untuk masyarakat OA mengikut daerah ini bagi untuk dos satu ialah sebanyak 87.8 peratus di Bentong; Raub (86.6 peratus); Bera (80.5 peratus); Rompin (77 peratus); Temerloh (72.4 peratus); Kuantan (67.3 peratus); Cameron Highlands (65.6 peratus); Maran (64.5 peratus); Pekan (56.6 peratus); Jerantut (50.7 peratus); dan Lipis (47.2 peratus).

“Untuk dos dua pula, Bentong (61.9 peratus); Raub (61.9 peratus); Bera (60.2 peratus); Kuantan (56.3 peratus); Maran (53 peratus); Cameron Highlands (52.8 peratus); Jerantut (44.5 peratus); Rompin (43.1 peratus); Temerloh (36.9 peratus); Lipis (35.1 peratus) dan Pekan (14 peratus). 

“Sehingga semalam juga, bilangan OA yang belum divaksinkan ialah seramai 16,917 orang, dengan 11,662 orang terdiri daripada masyarakat OA pinggiran manakala selebihnya (5,255 orang) masyarakat OA pendalaman,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, secara keseluruhannya sehingga semalam, jumlah penduduk Pahang yang sudah menerima satu dos suntikan ialah 953,928 orang atau 81.1 peratus daripada sasaran 1.175 juta penduduk dewasa berumur 18 tahun dan ke atas.

“Seramai 686,205 orang atau 58.4 peratus pula sudah lengkap menerima dua dos. Sehingga semalam juga, 1.1 juta atau 83.7 peratus daripada sasaran penduduk dalam kalangan dewasa berumur 18 tahun dan ke atas di negeri ini, sudah berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera,” katanya.