Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
Gambar Mohd Imran Izzad
KUANTAN: Program Vaksinasi Covid-19 secara ‘walk in’ di ruang legar Kompleks Bandaraya Kuantan (MBK), di sini hari ini mendapat sambutan luar jangkaan.
Penganjur menyediakan 200 dos vaksin jenis Sinovac untuk penerima dos pertama namun bilangan pengunjung yang hadir mencecah tiga hingga empat kali ganda lebih ramai.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Dato’ Hamdan Hussin, berkata berdasarkan sambutan diterima menyebabkan bilangan dos vaksin ditambah sehingga 500 dos.
“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan memberi jaminan dos vaksin tambahan akan disediakan bagi memastikan semua yang datang mendapat dos vaksin masing-masing.
“Pihak PKD Kuantan menyediakan tiga jenis vaksin iaitu Pfizer, Sinovac dan CanSino dan memberi peluang penerima membuat pilihan vaksin yang ingin disuntik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau proses pemberian vaksin di ruang legar Kompleks MBK, hari ini.
Menurutnya, untuk golongan warga emas, keutamaan diberikan untuk vaksin dos tunggal CanSino.
“Walaupun tempoh pemberian vaksin ini sudah lama, kita menjangkakan masih ada yang belum berbuat demikian atas pelbagai alasan dan pemberian vaksin secara ‘walk in’ ini akan memudahkan mereka untuk menerima dos pertama masing-masing.
“Kita lihat hari ini, ramai yang merebut peluang termasuk dalam kalangan remaja, warga emas dan warga asing,” katanya.