LIPIS: Sekurang-kurangnya 570 usahawan berjaya dilatih oleh Yayasan Pahang di 110 lokasi di sebelas daerah di negeri ini bagi menjana ekonomi penduduk luar bandar sepanjang pandemik Covid-19.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek yang bermula 2021 itu adalah hasil usaha kerajaan negeri untuk membantu menjana ekonomi masyarakat luar bandar.
Katanya, Yayasan Pahang dengan kerjasama Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills (KYPAS) membantu peserta di segi nasihat dan teknikal menanam cili bara secara fertigasi sejak semaian sehinggalah mengeluarkan hasil.
“Bagaimanapun, kita memberi tumpuan kepada empat kategori peserta iaitu golongan asnaf, Orang Asli, miskin luar bandar dan miskin bandar serta belia.
“Daripada 570 peserta, 126 usahawan 44,800 pokok cili bara di Jelai,” katanya selepas meninjau projek tanaman fertigasi cili bara di Kampung Tanjung Gahai, Sungai Koyan, di sini.
Katanya, dianggarkan 230,000 ribu pokok cili bara ditanam sepanjang tahun lalu, dengan purata pendapatan dan hasil antara RM1,200 -RM2,000 setiap peserta hasil 120 dan 200 kilogram sebulan.
Wan Rosdy berkata, spesis pokok cili bara dipilih sebagai tanaman pilihan kerana ia dapat mengeluarkan hasil seawal dua bulan setengah, harganya tidak terjejas dan sentiasa mendapat permintaan tinggi. – MUHAMMAD NAJMIE