Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Masyarakat luar bandar di Pekan bakal memperoleh manfaat besar berikutan pelaksanaan Projek Agropolitan Pekan (PAP) di bawah kelolaan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata PAP bermatlamat untuk membantu meningkatkan ekonomi dan mengurangkan kadar kemiskinan masyarakat luar bandar.
“Pagi ini, saya mendengar dan meniliti taklimat mengenai Pembentangan Strategi Kemampanan Ke Arah Komersialisasi PAP di bawah kelolaan ECERDC di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Sri Pahang.
“Tujuan utama Projek Agropolitan Pekan (PAP) ini adalah bagi membantu meningkatkan ekonomi dan mengurangkan kadar kemiskinan masyarakat luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian di laman Facebook rasminya, hari ini.
Menurutnya, peserta PAP menjalankan dua aktiviti utama iaitu penternakan bebiri jenis Dorper dan perladangan kelapa sawit.
“Kedua-dua aktiviti utama ini dijalankan di tiga kawasan iaitu PAP RPS Runchang, PAP Batu 8, dan PAP Tanjung Batu.
“Terima kasih saya ucapkan, terutamanya kepada pihak ECERDC dan Felda kerana merencana serta menjalankan satu program yang sangat bermanfaat kepada masyarakat terutamanya mereka di luar bandar,” katanya.