KUANTAN: Kerajaan negeri menetapkan satu garis masa bagi jangkaan tempoh pembinaan dan jangkaan mula beroperasi bagi Projek Pembangunan Bandar Aeroangkasa Pahang.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata langkah itu penting bagi memastikan semua pemegang taruh membuat tindakan dan mematuhi semua syarat pembinaan lapangan terbang, sehingga ia mendapat kelulusan Aerodrome Operator Licence (AOL) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM).
Katanya, perancangan garis masa itu juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Pahang sebagai Hub Transit Kebangsaan (National Transit Hub).
“Pembinaan Bandar Aeroangkasa Pahang ini, turut mengambil kira faktor hub ekonomi lain kerana ia terletak di Kawasan Industri Gebeng dan berhampiran dengan Pelabuhan Kuantan serta Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selain menjadi pintu masuk utama ke negeri-negeri di Pantai Timur.
“Sehubungan itu, pada 1 Mac 2022, satu Memorandum Perjanjian (MoA) dimeterai antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan selaku pemilik tanah, Pahang Corporation Sdn Bhd (pengurus dan penasihat projek) dan Gading Group Berhad (pemaju utama) bagi cadangan pembangunan Bandar Aeroangkasa Pahang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan.
“Pemeteraian MoA ini jelas menunjukkan kesungguhan Kerajaan Pahang, termasuk berusaha mendapatkan komitmen daripada pemaju utama bagi menjayakan projek ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi memberi maklum balas berhubung soalan dibangkitkan Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook pada persidangan Dewan Rakyat semalam berhubung projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, Kerajaan Pahang sentiasa berusaha memastikan segala syarat dan prosedur ditetapkan Kerajaan Persekutuan dipatuhi dalam usaha merealisasikan pelaksanaan projek pembangunan Bandar Aeroangkasa Pahang yang membabitkan komponen pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan projek bercampur.
“Sebanyak dua memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani pemaju utama dan rakan strategik pada 6 Julai 2022 bagi pelaksanaan projek pembangunan Bandar Aeroangkasa dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan.
“Pihak pemaju utama sedang dalam proses penyediaan dokumen dan menjalankan kajian berkaitan bagi mematuhi syarat-syarat ditetapkan Kementerian Pengangkutan,” jelasnya.
Selain itu, menurutnya, Kerajaan Pahang komited untuk menjadi negeri mesra pelabur dengan menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif.
“Oleh itu, saya amat berharap projek ini mendapat sokongan semua pihak supaya lonjakan ekonomi bukan sahaja diterima negeri ini sahaja tetapi juga negeri-negeri lain terutama di Pantai Timur,” katanya
Menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat pada 15 Julai 2020, Kerajaan Pahang bersetuju supaya kajian komprehensif terhadap cadangan pembinaan Bandar Aeroangkasa Pahang dilaksanakan.
Cadangan projek itu dibentangkan dan mendapat perakuan oleh Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-39 yang dipengerusikan YAB Perdana Menteri pada 21 Oktober 2021.
Pembangunan projek itu akan dibangunkan secara usahasama di tanah seluas 5,042 hektar di kawasan Gebeng, di sini, iaitu melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI) di mana konsep pembangunan adalah secara ‘build-operate-own’ (BOO). – HELMY ABD RAHMAN