Projek pembetungan bagi kemudahan kepada 500,000 penduduk

Projek pembetungan bagi kemudahan kepada 500,000 penduduk

KUANTAN: Kira-kira 500,000 penduduk daerah ini bakal menikmati akses perkhidmatan pembetungan moden melalui apabila Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Projek Pembentungan Bandar Kuantan siap Jun ini.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman, berkata projek itu menggunakan kaedah Horizontal Directional Drill (HDD) iaitu teknolongi baharu dalam sistem pembetungan negara.

Katanya, projek menelan kos RM492.4 juta itu membabitkan komponen utama pemasangan paip pembetung berukuran 900 milimeter (mm) merentasi Sungai Kuantan sepanjang 802 meter (m).

“Proses pemasangan mengambil masa tujuh bulan dan projek ini antara yang terpanjang dan terbesar menggunakan kaedah berkenaan di negara ini.

“Apabila siap kelak, kemudahan ini dijangka mampu merawat sisa kumbahan sehingga 76,000m padu sehari, sekali gus menyumbang kepada kelestarian alam sekitar terutama sumber air di Kuantan dan kawasan sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Paip Pembetung Merentasi Sungai Kuantan Menggunakan Kaedah HDD dan Sambutan Empat Juta Jam Bekerja Tanpa Kecederaan di tapak projek itu di Padang Lalang, di sini hari ini.

Menurutnya, pembinaan projek itu yang bermula September tahun lalu berjalan lancar dan kini mencapai lebih 87 peratus siap. – MOHD IMRAN IZZAD.