ROMPIN: Semua 17 pusat mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman ditutup secara rasmi tepat jam 6 petang tadi.
Daripada jumlah itu, empat pusat mengundi di Pulau Tioman ditutup mulai jam 2 petang, manakala sebuah lagi ditutup jam 3 petang.
Berdasarkan senarai dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 2, 010 pengundi berdaftar di pulau itu dengan lima pusat mengundi dibuka mulai jam 8 pagi.
Pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Juara, SK Mukut, Dewan Kampung Genting dan Resort Salang Pusaka, dibuka mulai jam 8 pagi hingga 2 petang, manakala SMK Tekek ditutup jam 3 petang.
SPR turut memaklumkan peratus keluar mengundi bagi DUN Tioman ialah sebanyak 54 peratus.
Selepas pengundian selesai, semua kertas undi dari Pulau Tioman akan dibawa ke pusat penjumlahan Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah dengan menggunakan helikopter.
Semua kotak mengandungi kertas undi mula tiba di pusat penjumlahan undi di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah Rompin jam 4.45 petang.
Sebanyak 10 pusat mengundi di tanah besar pula dibuka mulai jam 8 pagi hingga 6 petang, manakala dua lagi, SK Sungai Mok and SK Denai ditutup pada jam 4 petang.
Pilihan raya DUN Tioman menyaksikan saingan lima penjuru di antara penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Hussain; Idayu Hashim (Perikatan Nasional – PN), Osman A Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan-PH dan Sulaiman Bakar (BEBAS). – KHALEEF FITRIĀ