PRP mahu kerajaan negeri amalkan konsep ESG dalam pentadbiran

PRP mahu kerajaan negeri amalkan konsep ESG dalam pentadbiran

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu kerajaan negeri terus menekankan amalan prinsip Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam mentadbir negeri ini.

Baginda bertitah, pada masa sama, semuanya mestilah berpandukan al-Quran dan hadis, apatah lagi prinsip ESG seiring dengan kehendak Islam seperti tercatat dalam al-Quran.

“Firman Allah SWT dalam Surah Hud Ayat 61 yang bermaksud: “Dan kepada kaum Samud, kami utuskan saudara mereka iaitu Nabi Soleh. Baginda berkata, wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah. Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selainnya. Dialah yang menjadikan kamu daripada tanah serta menyuruh kamu memakmurkannya.

“Justeru, kita sebagai khalifah Allah SWT, wajib memakmurkan bumi ini seperti yang telah diperintahkannya. Kita harus bijaksana untuk membangunkan negeri Pahang inni agar terus membangun maju, tetapi pada masa sama kekal hijau dan lestari,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada sambutan Maulidur Rasul 443H/2021M Peringkat Negeri Pahang di sini, hari ini.

Hadir sama, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan EXCO kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Tengku Hassanal turut mengingatkan golongan muda supaya mencontohi keperibadian Rasulullah SAW ketika zaman mudanya.

“Baginda Rasulullah SAW ketika zaman mudanya tidak membuang masa dengan perkara sia-sia, sebaliknya memanfaatkan setiap ruang dan peluang untuk meningkatkan kebolehan diri, antaranya dengan melakukan kerja-kerja kebajikan dalam masyarakat, mengembala haiwan ternakan dan berniaga,” titah baginda.

Meskipun disambut dalam suasana sederhana, sambutan Maulidur Rasul 443H/2021M Peringkat Negeri Pahang tetap padat dengan pengisian bermakna. 

Majlis diisi dengan ceramah Ustaz Zul Ramli Mohamad Razali mengenai keperibadian Rasulullah SAW yang wajar diikuti seluruh umat Islam selain disulami persembahan nasyid salawat oleh kumpulan Insoft dari Bentong.

Sebanyak lima katogeri tokoh diraikan pada sambutan kali ini iaitu Anugerah Utama Tokoh Maulidur Rasul 1443H/2021M dengan penerimanya Ramli Mohamed, 78, dari Maahad Tahfiz Nenasi Pekan.

Anugerah Ummah pula diberikan kepada bekas Imam Besar Masjid Tengku Abdullah Jerantut, Allahyarham Nurunna’im Daud dan seterusnya Anugerah Daie yang disampaikan kepada Allahyarham Salehuddin Abd Rahman dari Kuala Lipis.

Anugerah Pendidikan pula diberikan Dr Fauzi Azmi dan anugerah baru iaitu Anugerah Khas Frontliner diterima Unit Kawalan Infeksi, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Semua penerima menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan plak khas.