BERA: YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan lebih awal.
Sehubungan itu, beliau meminta semua jentera Barisan Nasional (BN) sentiasa bersedia untuk menghadapi PRU-15 yang boleh dilaksanakan pada masa yang sesuai.
“Kita kena sentiasa bersedia, pilihan raya paling lewat boleh diadakan adalah Julai 2023. Hanya ada kira-kira setahun saja. Setahun tidak lama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas perjumpaan khas dan ramah mesra petugas Jalinan Rakyat (JR) Wanita Bera bersama Perdana Menteri di Kompleks Rakan Muda, di sini malam tadi.
Ismail Sabri berkata, tarikh pilihan raya umum tidak dibincangkan di khalayak dan semua jentera perlu sentiasa bersiap siaga.
Katanya, persediaan awal amat penting bagi memastikan jentera pilihan raya terbabit tidak kelam-kabut dan dapat bergerak lancar.
“Saya bangga dengan jentera JR Bera. Biasanya sebelum ini JR terdiri wanita UMNO. Tapi, di Bera kita boleh wujudkan JR ini daripada Wanita MCA dan juga Wanita MIC.
“Ini kali pertama kita adakan dan sekarang ini tiga sayap wanita bekerjasama gerakkan kajian sikap untuk mendapatkan sikap pengundi,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE