Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar Mohd Imran Izzad
KUANTAN: Mudah, murah dan cepat menjadi faktor pendorong kira-kira 150 orang mengunjungi Pasar Segar Terkawal (PST) pada hari pertama program jualan hasil pertanian dan ternakan di perkarangan Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang, di sini semalam.
Pengarahnya, Noh Nik Wan berkata, jualan bermula 8 pagi hingga 2 petang itu menggunakan sistem padu lalu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) bermula semalam hingga 14 Jun depan.
Katanya, pengguna lebih berminat mengunjungi PST kerana lebih mudah dan cepat berbanding berbelanja di pasar raya yang memerlukan mereka beratur panjang bagi mendapatkan barangan keperluan terutama sepanjang SPP dikuat kuasakan.
“Sebanyak lima gerai jualan disediakan dan pengguna hanya perlu lalu dihadapan gerai terbabit untuk melihat produk yang disediakan tanpa perlu turun daripada kenderaan masing-masing untuk memilih barangan yang diinginkan.
“Kakitangan FAMA akan membantu memilih dan memuatkan dalam kenderaan serta menerima bayaran,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, sambutan diterima begitu menggalakkan dan pihaknya berusaha menambah lebih banyak produk jualan terutama membabitkan pelbagai jenis sayuran bagi kemudahan pengguna.
“Tawaran harga lima hingga 20 peratus lebih murah mendorong lebih ramai pengguna datang berbelanja di PST.
“Saya difahamkan, permintaan untuk ikan air tawar seperti patin dan tilapia merah serta daging lembu segar amat menggalakkan. FAMA juga menjual sebanyak 700 kilogram (kg) nanas, labu manis (1,200kg) dan tembikai (2,300kg),” katanya.
Menurutnya, pelbagai barangan dapur dan makanan segera produk keluaran Agromas yang disediakan, turut mendapat permintaan agak tinggi.
“Kita akan menambah lebih banyak barangan keperluan lain seperti beras dan fasa pertama PST yang bermula semalam hingga 14 Jun akan disambung sekiranya ada keperluan,” katanya.