Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Dato’ Mohammed Suffian Awang tetap berpuas hati walaupun Sri Pahang FC sekadar muncul naib juara Piala Bandaraya Shah Alam (PBSA) 2021, baru-baru ini.
Beliau berkata, pencapaian itu boleh dibanggakan selepas baharu kembali menjalani latihan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, pada masa sama, Sri Pahang menggantikan Perak FC yang tidak dapat beraksi pada saat akhir.
“Bagi saya, bergelar naib juara PBSA 2021 tidak mengecewakan kerana penyertaan itu lebih kepada aksi pemanas badan sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula 5 Mac ini.
“Aksi pemanas badan perlu bagi memudahkan jurulatih (Thomas Dooley) menilai prestasi semasa semua pemain termasuk import sebelum liga bermula nanti.
“Oleh itu, saya harap semua pemain dapat mempertingkatkan lagi kualiti terutama daripada segi corak permainan dan persefahaman,” katanya.
Pada PBSA 2021, Sri Pahang merekodkan dua keputusan seri ketika berdepan Terengganu FC (TFC II) 2-2 dan UiTM FC (0-0).
Kejohanan membabitkan tiga pasukan itu menyaksikan TFC II muncul juara manakala UiTM FC di tempat ketiga.
Kelebihan jaringan menyaksikan TFC II dinobatkan juara pada edisi pertama PBSA 2021.