PUNB  dekati masyarakat pedalaman Ulu Tembeling

PUNB  dekati masyarakat pedalaman Ulu Tembeling

JERANTUT: Program Kongsi Rezeki Ramadan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di kawasan Ulu Tembeling adalah usaha pihak itu untuk mendekati masyarakat di kawasan terbabit. 

Pengerusinya, Dato’ Ahmad Nazlan Idris berkata, kali ini PUNB membawa pengurusan tertingginya untuk meninjau dan mendekati penduduk beberapa kampung di kawasan  pedalaman itu. 

“Antara kampung yang disantuni adalah Kampung Gusai,  Bantal, Pagi, Mat Daling,  Kuala Sat dan perkampungan Orang Asli Sungai Kucing  yang terletak di pinggir sungai Tembeling. 

“Ini adalah kali pertama PUNB turun padang melihat sendiri kesusahan penduduk di kawasan terbabit yang masih bergantung kepada ekonomi tradisi sebagai punca pendapatan,” katanya. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut, empat ratus ketua keluarga kurang kemampuan   dari enam kampung menerima bantuan barang keperluan asas dan duit selain berbuka puasa bersama penduduk Kampung Pagi. 

“PUNB akan anjur program seumpama ini lagi pada masa hadapan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan di beberapa kampung yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif PUNB,  Izwan Zainuddin. – MUHAMMAD NAJMIE