PUNB sediakan RM200 juta bantu usahawan

PUNB sediakan RM200 juta bantu usahawan

JERANTUT: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) memperuntukkan kira-kira RM200 juta pinjaman mudah kepada usahawan untuk bangkit kembali kerana terkesan dengan pandemik Covid-19.

Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Dato’ Ahmad Nazlan Idris berkata, pinjaman itu boleh diperoleh menerusi Skim Pembiayaan Usahawan Terkesan Covid-19 PUNB. 

“Usahawan terjejas akan menerima bantuan untuk membayar sewa dan gaji pekerja  untuk tiga bulan pertama sebagai mengembalikan semula kekuatan untuk terus menjalankan perniagaan masing-masing mulai Januari 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Dewan Taman Inderapura kepada wakil penduduk taman itu, hari ini.

Turut hadir Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris; Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Jerantut (MDJ), Mohd. Khasri Abdullah dan Pengerusi Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Taman Inderapura, Rahman Yusof. 

Sementara itu, Rahman Yusof berkata, penduduk taman itu amat bertuah menerima dewan berharga hampir RM500,000 untuk dijadikan pusat aktiviti. 

“Agak lama juga penduduk menunggu dewan ini. Terima kasih kepada Ahli Parlimen Jerantut, Pejabat Daerah Jerantut dan MDJ yang turut membantu menyegerakan pembinaannya,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE