Pusat Kawalan Operasi Banjir selaras bantuan mangsa banjir

Pusat Kawalan Operasi Banjir selaras bantuan mangsa banjir

KUANTAN: Segala bantuan yang ingin disalurkan kepada mangsa banjir oleh badan bukan kerajaan (NGO) perlu berurusan dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata langkah itu untuk memudahkan penyelarasan di segi bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini.

Katanya, penyelarasan itu penting untuk memastikan bantuan yang dihulurkan tidak hanya bertumpu di satu tempat sahaja.

“Daripada segi persediaan menghadapi monsun timur laut, kerajaan negeri melalui PKOB daerah sudah bersedia,” katanya kepada media selepas Program Bantuan Bencana di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Kerajaan Pahang menerima sumbangan banjir daripada PETRONAS.

Sementara itu, Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli berkata, sumbangan itu membabitkan dua unit bot yang dilengkapi dengan enjin,  tangki bahan api serta kemudahan roda mudah alih. 

Katanya, selain itu 1,000 unit khemah, 700 jaket keselamatan dan 7,000 helai baju hujan.

“Kami berharap agar sumbangan yang disampaikan dapat membantu agensi terbabit membuat persediaan menghadapi musim tengkujuh,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN