Pusat kuarantin khusus untuk Orang Asli di Kuala Krau

Pusat kuarantin khusus untuk Orang Asli di Kuala Krau

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

TEMERLOH:  Sebuah Pusat Kuarantin Pesakit Covid-19 (PKRC) khusus untuk Orang Asli dibuka di Sekolah Kebangsaan Penderas, Kuala Krau, dekat sini.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahdzir Khalid berkata, PKRC itu mampu menempatkan kira-kira 500 pesakit di asrama sekolah dan kelas yang diubahsuai.

    “PKRC di sekolah ini mula dibuka sejak semalam (Rabu) dan sekarang menempatkan 184 pesakit Covid-19 Orang Asli sekitar Kuala Krau.

    “Kita boleh menempatkan 200 pesakit di asrama dan 300 pesakit lagi kita akan tempatkan di dalam kelas yang diubah suai mengikut keperluan semasa dan situasi Covid-19 di kalangan masyarakat Orang Asli di kawasan sini,” katanya.

    Mahdzir berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau PKRC Sekolah Kebangsaan Penderas, Kuala Krau. 

    Turut hadir, Timbalan Menteri KPLB, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad; Timbalan Menteri Dalam Negeri 1 yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau, Dato’ Sri Dr Ismail Mohamed Said; Ketua Setiausaha KPLB, Dato’ Dr Jailani Muhamed dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Sapiah Mohd Nor.

    Pembukaan pusat kuarantin khas untuk Orang Asli itu katanya mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan dikelolakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JAKOA.

    Sejumlah 1,133 masyarakat Orang Asli di sepuluh buah perkampungan sekitar Kuala Krau dijangkiti Covid-19 dengan merekodkan empat kematian.

    Perkampungan Orang Asli Kampung Penderas dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 12 hingga 25 September, selepas 120 penduduk Orang Asli dijangkiti wabak itu.

   Sementara itu, Mahdzir berkata, 134, 494 Orang Asli sudah menerima vaksin dan daripada jumlah itu, 77,970 penduduk menerima dos pertama manakala 50,734 individu lengkap kedua-dua dos.