Putera kedua Sultan Brunei mangkat

Putera kedua Sultan Brunei mangkat

Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@gmail.com

BANDAR SERI BEGAWAN: Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim, putera kedua Sultan Brunei Sultan Haji Hassanal Bolkiah, mangkat jam 10.08 pagi tadi waktu tempatan pada usia 38 tahun.
Perkara itu diumumkan Pejabat Sultan Brunei menerusi satu kenyataan yang disiarkan di Radio Televisyen Brunei.
Menerusi laporan portal thescoop.co, Almarhum dimakamkan di Kubah Makam Diiraja hari ini selepas waktu Asar.
“Menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam, dengan amat dukacita memaklumkan kepada seluruh rakyat dan penduduk negara Brunei Darussalam bahawa dengan takdir Allah Subhanahu Wataala, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah mangkat pada hari ini, Sabtu 7 haribulan Rabiulawal 1442 bersamaan 24 haribulan Oktober 2020 jam 10.08 pagi,” menurut petikan hebahan itu.
Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim diputerakan di Bandar Seri Begawan, Brunei pada 29 Julai 1982, adalah anakanda keenam dan putera kedua Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Almarhum mendapat pendidikan di International School Brunei, sebelum menyambung pengajian di Raffles Institution dan Oxford Brookes University, United Kingdom.
Sehubungan itu, rakyat Brunei berkabung selama tujuh hari dan bendera dikibarkan setengah tiang bermula hari ini.