Rafizi ni batu api…

Rafizi ni batu api…

KUANTAN: “Rafizi ni batu api,” demikian reaksi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin mengulas dakwaan Rafizi Ramli kononnya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Muhyiddin Yassin, lebih popular berbanding bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak.

Rafizi mengeluarkan kenyataan itu ketika melancarkan kempen Ayuh Malaysia di ibu negara pada 27 Mac lalu.

Mohd Sharkar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keahlian, Daftar Pemilih, Latihan Dan Perkaderan Badan Perhubungan UMNO Pahang, berkata komen bekas Ahli Parlimen Pandan itu bertujuan untuk melaga-lagakan Najib dan Muhyiddin bagi kepentingan PKR serta Pakatan Harapan (PH).

“Rafizi ni batu api… dia nak Dato’ Sri Najib dan Muhyiddin bergaduh… itu biasa, strategi dia.

“Komen orang politik ini macam macam, ada sebab nak melaga-lagakan. Itu hak dia, tapi dia (Rafizi) cuma nak pergeseran itu bertambah hebat lagi, jadi lagi meriah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program Pendaftaran Ahli UMNO ‘Keluargaku Ahli UMNO’ yang dilancarkan YAB Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Badan Pehubungan UMNO Pahang merangkap Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Dato’ Sri Ab Hamid Nazahar; Ketua UMNO Bahagian Maran, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin; Ketua UMNO Bahagian Raub, Dato’ Abd Aziz Mat Kiram dan  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Ir Razali Kassim. – HELMY ABD RAHMAN