BALING: “Walaupun jamban (tandas) di rumah hilang kerana kepala air, saya pula jatuh motosikal sampai patah kaki nak pi (pergi) ambil bantuan masa (banjir) hat (yang) pertama dulu, hari ini tak terasa sedih, malah suka tak terkata,” kata Ma Awang, 64, dari Kampung Tanjung Nering di sini.
Warga emas itu antara 1,012 penerima bantuan wang ihsan disampaikan Kerajaan Pahang di Dataran Keluarga Malaysia di sini hari ini.
“Nak ikutkan memanglah sedih sebab kejadian menimpa saya, tapi kesedihan itu lenyap selepas dapat tahu terima bantuan hari ini.
“Saya nak ucapkan berbanyak terima kasih kepada Agong (KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah), Kejaan Pahang dan semua rakyat Pahang yang amat prihatin dengan nasib kami,” kata ibu kepada empat anak perempuan itu.
Bagi Kamaruddin Taeh, 70, dari Kampung Iboi, Kupang, di sini, dia amat terharu dengan bantuan diterima hari ini.
“Saya tak sangka rakyat Pahang prihatin dengan nasib kami walaupun jarak antara dua negeri ini jauh.
“Terima kasih kepada Al-Sultan Abdullah, Kerajaan Pahang dan UMNO yang sememangnya diketahui sentiasa ke depan membantu rakyat,” katanya kepada Fikrah Pahang ketika ditemui selepas Majlis Bantuan Wang Ihsan Kepada Mangsa Bencana Banjir ‘Tragedi Kepala Air Iboi’.
Delegasi dari Pahang diketuai EXCO Hal Ehwal Islam dan Pendidikan Pahang merangkap Ketua Penerangan UMNO negeri, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Hadir sama, Ahli Parlimen merangkap Ketua UMNO Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abd Rahim.
Sementara itu, Syed Ibrahim dalam ucapannya berharap semua mangsa banjir dapat bersabar dengan dugaan diterima.
“Kami ini hanya asbab sahaja yang mana digerakkan Allah SWT untuk menyampaikan bantuan hari ini,” katanya.
Menurutnya, sumbangan lebih RM200,000 itu adalah hasil kutipan derma orang ramai di setiap masjid di Pahang pada setiap Jumaat sejak sebulan lalu selepas dititahkan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah.
“Selain bantuan ini, Kerajaan Pahang menyampaikan sumbangan sebanyak RM25,000 untuk empat masjid dan satu surau yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) ketika selepas berlaku bencana banjir disebabkan kepala air sebanyak dua kali dalam tempoh dua bulan,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN