BENTONG: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong menemui kilang papan yang dipercayai beroperasi secara haram di Kampung Pulau Santap, Janda Baik, di sini.
Kilang yang dilengkapi pelbagai peralatan membelah dan memotong balak di samping mesin penyedut habuk kayu dipercayai masih lagi beroperasi.
Pegawai Hutan Daerah Bentong, Muhamat Azman Yahya berkata, kilang papan itu diusahakan beberapa individu tempatan yang berkemahiran dengan kebanyakkan kayu yang dihasilkan untuk pasaran tempatan dan murah.
Menurutnya, ketika serbuan dilakukan mereka yang terbabit melakukan kegiatan salah itu tidak menjalankan aktiviti membelah kayu manakala kilang yang dianggap lengkap itu dibiarkan kosong.
“Saya tidak pasti sama ada mereka terlebih dahulu dapat menghidu kehadiran anggota penguat kuasa atau memang tidak beroperasi kerana tidak mempunyai bekalan balak.
“Kilang itu dipercayai hanya menghasilkan kayu bergergaji bersaiz kecil dan sederhana. Ini kerana mesin yang digunakan bersaiz kecil,” katanya dihubungi, di sini, semalam.
Muhamat Azman berkata, pihaknya kini sedang berusaha mengesan sumber bekalan balak untuk menghasilkan kayu bergergaji. – MOHD IMRAN IZZAD