Raja Permaisuri Agong hadiah keringkam miliknya kepada Muzium Sarawak

Raja Permaisuri Agong hadiah keringkam miliknya kepada Muzium Sarawak

KUCHING: KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menghadiahkan Keringkam Sarawak milik baginda kepada Muzium Sarawak untuk dipamerkan kepada umum.

Tunku Azizah bertitah keringkam berusia 35 tahun yang diterimanya sebagai hantaran perkahwinan itu mempunyai nilai seni yang tinggi dan perlu dihargai oleh generasi baharu agar ia tidak dilupakan bagi memartabatkan keindahan seni tenunan kain.

“Ini adalah hadiah perkahwinan dalam satu daripada 16 dulang yang saya dapat ketika berkahwin dengan suami saya (KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).

“Memandangkan ia adalah Keringkam Sarawak, saya mahu menyerahkan kepada Kerajaan Sarawak untuk dipamerkan di muzium,” titah baginda pada majlis perasmian Lembaran Emas Siri 2: Simposium Tekstil Borneo, di sini, hari ini.

Simposium itu dianjurkan bertujuan untuk memupuk hubungan antara masyarakat dan pemain industri tekstil, selain menjadi platform pertukaran idea ke arah pemeliharaan dan kemapanan tekstil di seluruh dunia.

Selian itu, baginda yang juga Penaung Pusat Pengeluaran Songket Kontemporari Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) menyeru tukang tenun yang mahir agar tidak lokek berkongsi ilmu serta menurunkan kemahiran yang ada kepada generasi baharu.

“Kami dapati semakin berkurangan orang yang terbabit dalam tenunan dan kita mesti menggalakkan mereka kembali kerana adalah penting bagi penenun untuk menurunkan pengetahuan mereka. Kita mesti pastikan ilmu dan warisan ini tidak luntur ditelan zaman.

“Adalah penting bagi mereka menurunkan pengetahuan mereka untuk kita dokumentasikan setiap bahagian, bagi membolehkan kita mewariskannya kepada generasi akan datang,” titah baginda.

Tunku Azizah bertitah industri tekstil semakin berkembang pesat dan mampu meningkatkan nilai eksport dan import dab dengan itu peluang perlu diambil untuk mempromosikan tekstil komuniti di negara ini ke persada dunia. – BERNAMA