Raja Permaisuri Agong rasmi Pusat Susu Bonda Halimatussadia

Raja Permaisuri Agong rasmi Pusat Susu Bonda Halimatussadia

KUANTAN: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan harapan supaya Pusat Susu Bonda Halimatussadia (HMMC) di Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Indera Mahkota, di sini, dapat dimanfaatkan semua ibu kepada bayi pramatang di seluruh negara.

Baginda juga bertitah, sesiapa yang mempunyai lebihan susu ibu, boleh menyumbangkannya ke pusat itu.

“Usaha dan matlamat HMMC untuk memastikan bayi yang baru lahir mendapat khasiat susu ibu perlu diteruskan.

“Kewujudan pusat ini juga perlu diketahui ramai suapaya orang ramai boleh datang dan mendermakan susu mereka, sekali gus membantu bayi-bayi pramatang,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat dan merasmikan HMMC di Pusat Perubatan UIAM di sini, hari ini.

Baginda yang juga Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) kemudian berkenan mencemar duli menurunkan tandatangan pada plak perasmian HMMC.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (TERATAI), Datin Sri Burhah Mohammed; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Dato’  Sri Norolazali Sulaiman dan Presiden UIAM, Tan Sri Samsudin Osman. 

Sementara itu, Samsudin berkata, HMMC adalah pusat susu patuh syariah yang bermatlamat memastikan semua bayi yang memerlukan dapat dibekalkan dengan susu ibu. 

Katanya, pasukan HMMC menjalankan penyelidikan dan merangka prosedur operasi standard (SOP) lengkap dengan mematuhi maqasid syariah membabitkan keseluruhan proses, bermula daripada pengambilan bakal penderma susu sehinggalah penyusuan susu ibu penderma kepada bayi baru lahir. 

“Pasukan ini juga memperoleh kemahiran teknikal dalam mewujudkan dan menyelenggara Bank Susu Manusia menerusi lawatan ke Hospital Universiti Queen Elizabeth di Glasgow pada Februari 2020. 

“Selain itu, pasukan ini mengadakan perbincangan bersama pihak berkuasa agama di Pahang, antaranya Pejabat Mufti Negeri Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Jawatakuasa Perundingan Hukum Syarak Pahang bagi mendapatkan panduan serta nasihat mengenai pematuhan syariah bagi penubuhan HMMC,” jelasnya. – HUSIN IBRAHIM