Raja Petra jangan biadap

Raja Petra jangan biadap

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar hiasan

KUANTAN: “Jangan biadap,” tegas Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

Beliau berkata demikian merujuk mengenai individu video yang tular di media sosial dipercayai Raja Petra Kamarudin yang jelas membuat insinuasi bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ra’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terbabit dalam komplot untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Katanya, kenyataan dikeluarkan adalah satu bentuk hasutan dan boleh disifatkan tindakan derhaka tahap tertinggi terhadap Baginda Tuanku.

“Kenyataan individu dalam video berkenaan mampu mengganggu-gugat kestabilan negara dengan cubaan untuk mewujudkan persepsi dalam kalangan awam bahawa berlakunya satu komplot peringkat tertinggi untuk menjatuhkan kerajaan yang ada dan diperkenankan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. 

“Kenyataan dalam video terbabit juga menyatakan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak releven di dalam Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat. 

“Ini satu kenyataan biadap dan tidak bertanggungjawab oleh Raja Petra Kamarudin. Peranan dan tanggungjawab KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong jelas dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan ini termasuklah kuasa dan peranan Baginda untuk membatalkan Proklamasi dan Ordinan Darurat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Meurutnya, tindakan Baginda Tuanku, secara jelas hanyalah menjalankan amanah dan tugas seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan Sumpah Memegang Jawatan Baginda, iaitu untuk menjalankan pemerintahan adil sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sungguhpun Baginda bertindak atas nasihat Kabinet seperti terkandung di dalam Fasal 40 Perlembagaan Persekutuan, Fasal sama juga memberikan hak dan kuasa kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memberi teguran, menasihati serta memberikan buah pandangan yang difikirkan perlu oleh Baginda.

“Apatah lagi apabila sebarang pembatalan Ordinan Darurat dikeluarkan atas nama Baginda. Oleh itu, kenyataan Raja Petra yang menyatakan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai tidak releven amat menyeleweng, tidak tepat dan merendah-rendahkan kedudukan Baginda selaku Ketua Negara,” tegasnya.