Rajawali boleh jadi teman baru petani 

Rajawali boleh jadi teman baru petani 

PEKAN: Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Pusat Reka Bentuk dan Inovasi Teknologi (PRInT) berjaya mencipta dron pelbagai fungsi dikenali sebagai `Rajawali’.

Dron berkenaan dicipta bagi memperluaskan inovasi dan penggunaan teknologi baharu dalam meningkatkan produktiviti sektor pertanian.

Ketua penyelidik, Dr Noor Zaihah Jamal, berkata dron itu mempunyai kapasiti tangki 30 liter dengan kelajuan semburan air maksimum 10 liter per minit manakala kecekapan semburan pula iaitu 0.16 hektar per minit.

“Ia dapat dikawal pada jarak jauh dan boleh terbang sehingga 30 meter dengan kelajuan maksimum 10 meter per saat.

“Selain itu dron ini juga menggunakan bateri dengan kapasiti 4000 mAh dan kelajuan motor 5,000 rpm. Oleh itu, saya mengharapkan dron ini dapat meningkatkan kualiti dan pertumbuhan ekonomi bagi masyarakat sekitar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini sesi ujikaji yang diadakan di kawasan sawah padi sekitar Kampung Serandu bagi melihat sendiri teknologi dron multifungsi itu berfungsi bagi aktiviti penyemburan baja dan racun khususnya untuk kerja pertanian.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman; Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Penyelidikan, Prof Dr Mohd Hasbi Ab Rahim, Ketua Penyelidik yang juga Pensyarah Kolej Kejuruteraan, Dr Noor Zaihah yang dibantu pengamal dron, Zek Aman Abd Ghani dan Ketua Kampung Serandu, Mohd Khairuddin Zakaria.

Sementara itu, Abdul Aziz teruja dapat menyaksikan sendiri dron yang dihasilkan oleh penyelidik UMP dan merealisasikan hasratnya untuk melihat penyelidik UMP sentiasa menghasilkan teknologi terkini.

“Tahniah dan terima kasih kasih kepada semua penyelidik UMP atas kejayaan menghasilkan teknologi untuk dimanfaatkan komuniti setempat ini.

“Saya harap teknologi ini dapat diperluaskan dan membantu dalam aktiviti pertanian sehingga menghasilkan pengeluaran hasil tanaman secara optimum,” katanya.

Mohd Khairuddin juga berterima kasih dan berbangga dengan pemilihan lokasi Kampung Serandu bagi UMP menjalankan kajian dengan membawa teknologi dron yang besar dan mendapat manfaat dengan ciptaan sendiri dron multifungsi itu. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN