Rakyat Pahang sambut baik saguhati RM200 kepada bayi yang dilahirkan tahun depan

Rakyat Pahang sambut baik saguhati RM200 kepada bayi yang dilahirkan tahun depan

KUANTAN: Rakyat Pahang menyambut baik pengumuman kerajaan negeri mengenai pemberian saguhati RM200 kepada setiap bayi yang dilahirkan di Pahang di bawah Program Anak Kebanggaan Pahang mulai tahun depan.

Rata-rata ditemui Fikrah Pahang menyatakan penghargaan atas pemberian Kerajaan Pahang yang memperuntukkan RM5 juta bagi menjayakan program berkenaan.

Bagi Mohd Adzhar Awang, 28, dari Sungai Isap, di sini, pemberian saguhati itu membuktikan kerajaan negeri amat prihatin terhadap nasib rakyat.

“Lebih-lebih lagi, apabila anak dilahirkan, banyak perkara yang perlu dilakukan termasuk membeli barangan keperluan termasuk ibu.

“Sebagai rakyat Pahang, pemberian ini sememangnya dialu-alukan,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Ikram Razali, 23, dari Felda Hilir Satu, di sini berkata, insentif itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban kepada ibu bapa terutama yang baharu mendapat anak pertama.

“Saya harap saguhati ini bukan sahaja diberikan tahun depan, malah berterusan,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2022 Pahang Isnin lalu, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta daripada kerajaan negeri bagi menjayakan Program Anak Kebanggaan Pahang mulai 2022.

Katanya, pemberian RM200 untuk setiap kelahiran itu adalah untuk simpanan dan barangan penjagaan bayi dan ibu ketika berpantang.

“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan pada 2020, kelahiran bayi Pahang adalah 25,279 orang setahun,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN