Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
PEKAN: Kerajaan Pahang memperkemaskan misi kebajikannya membantu rakyat menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Fasa 2.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata agihan pertama membabitkan 19 pelajar sekolah menengah agama daerah ini yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.
Selain itu, katanya, 22 pekerja dewan makan dan 12 pekerja kantin sekolah turut menerima BPP Fasa 2.
“Kerajaan negeri turut menyampaikan jubah dan kain pasang kepada imam, bilal dan siak yang bertugas di 22 masjid di samping 13 surau di daerah ini.
“Bantuan berkenaan sebagai bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat yang kini terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0,” katanya selepas penyampaian bantuan secara pandu lalu di perkarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, semalam.
Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Zulkifle Ali; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Masjid dan Surau JAIP, Ahmad Nizam Abdul Manan; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIP, Mohd Fadzli Mat Saman dan Penolong Kadi Daerah Pekan, Abdullah Kassim.
Beliau berkata, BPP akan diteruskan ke beberapa daerah lain seperti Rompin dan Jerantut bagi memastikan rakyat yang benar-benar menghadapi kepayahan hidup menerima manfaat hasil inisiatif kerajaan negeri ini.