Rakyat perlu penjelasan punca banjir Disember 2021

Rakyat perlu penjelasan punca banjir Disember 2021

KUANTAN: Kerajaan Pahang akan memberi penjelasan kepada rakyat mengenai banjir yang berlaku, pada 18 Disember tahun lalu. 

Ini bagi mengelak pembangkang menggunakan kejadian itu bagi memberikan persepsi tidak tepat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, maklumat itu akan disampaikan melalui seminar hibrid mitigasi banjir.

Menurutnya, penjelasan akan memberi peluang kepada rakyat menilai fakta bencana khususnya di Bentong selepas panel penyelidik di institusi pengajian tinggi, Kementerian Alam Sekitar dan Air mendedahkan hasil kajian mereka.

“Isu alam sekitar adalah besar dan akan digunakan oleh pembangkang terutama ke atas kepimpinan Pahang apabila PRU15. Oleh itu, kita mesti membuat persediaan memberikan pendedahan awal bahawa isu ini adalah bencana. 

“Kita tidak mahu perkara tidak benar dikatakan benar. Oleh itu, kita bekerjasama dengan Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) untuk menyampaikan maklumat yang betul kepada masyarakat,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Mitigasi Banjir: Strategi untuk Kelestarian Alam Sekitar anjuran UCYP secara maya di Dewan Yayasan Pahang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr Ahmad Zainuddin. 

Seminar itu bertujuan mengupas isu banjir, merungkai dan mencari rumusan daripada pakar alam sekitar yang disertai kira-kira 500 peserta secara fizikal dan atas talian. 

Mohd Sharkar berkata, Kerajaan Pahang yang dipimpin YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, amat serius menangani isu alam sekitar.