TEMERLOH: Dianggarkan, seramai 189 guru dan 4,425 murid serta pelajar sekolah di negeri ini terjejas akibat bencana banjir yang melanda baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata di Kerdau sahaja, hampir 100 warga sekolah terjejas akibat bencana berkenaan.
“Tahun ini saja, dua kali tiga sekolah dalam Dun Kerdau ini kena banjir iaitu Januari dan Disember 2021. Tiga sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Mandi, SK Paya Taram dan SK Paya Ara.
“Ada sekolah yang pintunya tidak dapat berfungsi dengan sempurna, ada juga kerusi, meja dan perabot reput selain terdapat struktur bangunan yang retak… semoga dapat perhatian JPNP (Jabatan Pendidikan Negeri Pahang),” katanya menerusi perkongsian di Facebook, hari ini.
Syed Ibrahim turut mengambil kesempatan membantu mencuci beberapa sekolah berikutan cuaca baik dan banjir yang semakin surut beberapa hari kebelakangan ini.
“Saya sempat membantu membersih sekolah dan menyumbangkan ‘water jet’ (penyembur air berkuasa enjin), makanan dan bantuan kewangan kepada yang terbabit,” katanya.
Sebelum ini, Fikrah Pahang melaporkan sebanyak 74 sekolah di Pahang dinaiki air akibat banjir yang melanda negeri ini iaitu membabitkan 53 sekolah rendah (SR) dan 21 menengah (SM).
Daerah mencatatkan sekolah paling banyak terjejas adalah Kuantan iaitu 19 yang membabitkan 12 SR dan tujuh SM, diikuti Temerloh sebanyak 17 sekolah (14 SR/tiga SM); Pekan 14 sekolah (11 SR/tiga SM) dan Bentong sebanyak lapan sekolah (enam SR/dua SM).
Turut dinaiki air, enam sekolah di Lipis (dua SR/empat SM); Bera lima seolah (empat SR/satu SM); Raub tiga SR serta Jerantut masing-masing satu SR dan SM.
Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata, sebanyak 172 sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) untuk digunakan sebagai perlindungan mangsa banjir di negeri ini.
“Sekolah-sekolah yang dijadikan PPS mengikut daerah adalah di Bentong (sembilan), Bera (11), Jerantut (22), Kuantan (39), Lipis (15), Maran dan Raub (masing-masing sembilan), Pekan (18) dan Temerloh (40),” katanya. – HELMY ABD RAHMAN